Matlamat dan Objektif

MATLAMAT

Matlamat Pendidikan Pencegarah Dadah di Sekolah Kebangsaan Dato' Yahya Subban ialah untuk memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa agar mereka menjauhi dan berupaya menentang ancaman dadah dengan meletakkan sasaran 'Sekolah Bebas Dadah'.


OBJEKTIF
1. Menyerapkan pengetahuan, kefahaman, kemahiran PPDa kepada murid, guru dan kakitangan sekolah supaya dapat menghindarkan diri daripada terjerat dengan dadah dan rokok.

2. Membina modal insan yang memiliki ketahanan dan jati diri yang tinggi di kalangan murid dari segi fizikal, emosi, mental dan rohani.

3. Membentuk budaya sihat, tingkahlaku positif dan amalan nilai-nilai murni dalam kalangan murid sekolah.

4. Menyediakan alternatif yang berfaedah supaya dapat menyekat murid sekolah daripada terlibat dengan dadah dan rokok.




PENDEKATAN

Pengurusan dan Kepimpinan - Pihak sekolah telah menubuhkan Jawatankuasa PPDa untuk mengurus dan melancarkan lagi hasrat merealisasikan Misi dan Visi PPDa. Jawatankuasa ini terdiri daripada pihak pentadbir dan guru-guru sekolah serta murid-murid.
Jawatankuasa telah menyebarluas kefahaman tentang penubuhan PPDa sekolah ke seluruh warga sekolah melalui mesyuarat, taklimat, perkembangan staff serta perhimpunan pagi. Bagi memperlihatkan kesungguhan pihak sekolah tentang PPDa ini, pihak pengurusan telah memanjangkan konsep Sekolah Penyayang dalam PPDa sekolah.

Kurikulum - Guru-guru juga berperanan penting bagi bersama-sama merealisasikan PPDa di dalam kelas melalui pengajaran dan pembelajaran masing-masing. Setiap guru boleh mengambil skop yang bersesuaian dengan konsep PPDa dalam mengaplikasikan mata pelajaran mengikut kesesuaian yang berkaitan dengan PPDa.


Ikrar anti dadah telah diadakan dalam satu perhimpunan pagi selepas penubuhan PPDa sekolah. Ikrar ini dapat menyematkan semangat dalam hati setiap warga sekolah serta keluarga supaya benci dadah dan menjauhinya serta mencegah daripada terjebak.

Beberapa siri lawatan berpandu ke Bilik PPDa sekolah telah diadakan bagi menambah kefahaman murid serta warga sekolah terhadap bahaya dadah. Diharap pameran yang diadakan dalam Bilik PPDa boleh mendatangkan rasa keinsafan dalam diri.

Bagi memastikan murid sentiasa ingat tentang hasrat Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012, ucapan-ucapan dalam setiap perhimpunan pasti mengandungi ucapan yang berkaitan dengan PPDa.

Kokurikulum - Pendekatan di bidang kokurikulum juga telah menjadi salah satu ruang yang amat luas dan menarik untuk melunaskan tanggungjawab melaksanakan PPDa di Sekolah Kebangsaan Dato' Yahya Subban. Memandangkan murid-murid sekolah ini memang gemar kepada aktiviti-aktiviti anjuran sekolah maka kesempatan ini tidak dilepaskan.

Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah seperti Kem Beruniform, Gotong-royong PIBG dan Senamrobik. Setiap aktiviti ini menyelitkan slot-slot ceramah seperti Ceramah Anti Dadah dan Ceramah Anti Jenayah.

Pembangunan Sahsiah - Melalui pendekatan sahsiah murid-murid didedahkan dengan aktiviti-aktiviti kaunseling dimana guru kaunseling mengambil peranan memberi ceramah-ceramah motivasi berkaitan dengan sahsiah seorang murid yang cemerlang dan gemilang. Hasil daripada aktiviti ini diharap murid-murid dapat menghindarkan diri daripada gejala dadah serta menyedari bahawa dadah adalah perosak masa depan.

Guru-guru agama berperanan mengadakan aktiviti-aktiviti kerohanian. Aktiviti kerohanian yang diadakan amat mengharapkan agar murid-murid mempunyai asas yang kukuh dalam bidang agama serta mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi untuk menangkis segala gejala seumpama dadah ketika mengharungi alam remaja seterusnya meningkat dewasa nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan