Rabu, 28 Oktober 2015

SELAMAT DATANG KE PORTAL PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH (PPDa)



CATATAN 2015

Setelah 3 tahun berturut - turut menyandang gelaran Naib Johan Bilik PPda Peringkat Negeri , tahun 2015 melakar sejarah baru bagi penubuhan Bilik PPDa SKDYS , dinobatkan sebagai Johan Peringkat Negeri Perak 2015 sekali gus akan mewakili negeri Perak ke peringkat kebangsaan pada tahun 2015 ini. Usaha dan kerjasama pelbagai pihak membuktikan harapan dan matlamat yang sama mahu dicapai oleh komuniti ini. Penarafan Lima Bintang merupakan satu pencapaian tertinggi yang mahu dicapai oleh semua warga SKDYS. 

Bukan mudah untuk berada di puncak , bukan sedikit usaha dan pengorbanan yang dilakukan , tidak ternilai titik peluh dan keringat yang dicurahkan. Ayuh semua! Kita cipta kegemilangan untuk Bilik PPDa SKDYS tahun 2015 ini. 







SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Dato' Yahya Subban ini ditubuhkan pada tahun 1947, hasil gotong-royong penduduk kampung yang berazam untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka. Bangunan asal daripada kayu dan beratap nipah dibina di atas sebidang tanah di hadapan pekan Chenderong Balai. Murid-muridnya terdiri daripada anak-anak penduduk kampung Melayu sekitar kawasan Chenderong Balai. Walaubagaimanapun bilangan pelajar telah meningkat dari setahun ke setahun sehinggalah mencecah hampir 900 orang murid termasuk murid-murid daripada kaum orang asli. Peningkatan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum sekolah ini telah menarik minat penduduk berhampiran untuk menghantar anak mereka belajar di Sekolah Kebangsaan Dato' Yahya Subban.



LATAR BELAKANG PENUBUHAN PPDa SK DATO' YAHYA SUBBAN

Sungguhpun Sekolah Kebangsaan Dato' Yahya Subban merupakan sebuah sekolah yang terletak di luar bandar namun pihak sekolah sentiasa sensitif dengan perkembangan semasa masa kini lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan gejala sosial yang kini dilihat semakin menular ke kawasan luar bandar. Sebagai salah satu organisasi yang diiktiraf untuk melahirkan insan yang cemerlang di semua bidang maka kami rasa terpanggil untuk melaksanakan salah satu cabang pendidikan iaitu Pendidikan Pencegahan Dadah. 20 Februari 2012 tertubuhnya PPDa Sekolah Kebangsaan Dato' Yahya Subban.
 


LATAR BELAKANG PPDa
Pada 28 Februari 1983, Jawatankuasa Kabinet Anti Dadah telah mengisytiharkan 'Dadah Musuh Utama Negara'. Kementerian Pendidikan Malaysia telah diberi tanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah. Sasaran utama ialah kepada murid, guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa.

PUNCA KUASA PENUBUHAN BILIK SUMBER PPDa
* Merujuk    kepada   Surat   Pekeliling  Ikhtisas   Bil.3/2004  Memperkasa   Pendidikan   Pencegahan
   Dadah di Sekolah.
* Merujuk   kepada   Surat   Siaran  Kementerian Pelajaran Malaysia, (Bs/SPPK)8543/078,Jld11(100)
   bertarikh  16 Januari 2008,  satu  ketetapan  telah  diambil  supaya setiap sekolah mewujudkan Bilik
   Sumber PPDa atau sudut/Lorong PPDa.